Jangan Belajar Agama Di Tepi Jalan

Dari Abu Hurairah radiyaLlahu ‘anhu dia berkata : RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 golongan, satu masuk syurga dan 70 dalam neraka. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, 71 dalam neraka dan satu masuk ke syurga. Dan demi jiwa Muhammad yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan , satu masuk syurga dan 72 masuk dalam neraka. RasuluLlah ditanya: Siapakah mereka (yang masuk syurga itu)?, Beliau menjawab : “Al Jama’ah”. (HR Ibnu Majah, no. 3994)
————————————————————————————————————————-

DI akhir zaman ini, kesatuan umat Islam tidak lagi seteguh di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, baik dari segi persaudaraan dan juga amalan. Namun, yang lebih menggusarkan ialah berlaku perpecahan atau wujud puak-puak akibat perbezaan pandangan dalam Islam yang jika tidak dibendung boleh membawa kepada pergaduhan sesama Islam.

Ini mengingatkan kita kepada sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: “Sesungguhnya Ahli Kitab berpecah dalam agama mereka kepada 72 golongan. Sesungguhnya umat ini akan berpecah belah kepada 73 golongan, semuanya ke neraka kecuali satu iaitu Jamaah”.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto JEFFRI A. RAHMAN menemu bual bekas pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Musa Fathullah Harun bagi mengupas persoalan ini.

MEGA: Apakah yang dimaksudkan oleh hadis ini?

DR. MUSA: Hadis ini menjelaskan tentang perpecahan dalam agama akibat kesesatan kerana melakukan dosa. Dan hanya satu golongan yang selamat masuk syurga.

Namun demikian, ada satu hadis lain yang menyebut antara lainnya, “Semua golongan masuk syurga kecuali satu.”

Dengan kata lain, yang betul-betul mengikuti ajaran Islam itu satu tetapi yang betul-betul sesat terkeluar dari Islam pun satu.

Yang dimaksudkan dengan semuanya ke neraka itu adalah sebab dosa dan kesesatan yang dilakukan. Namun, pada akhirnya, umat Islam akan dapat juga masuk ke syurga melainkan yang syirik kepada Allah.

Cuma tempoh masa diazab di neraka itu bergantung kepada banyak mana dan besar mana dosa yang mereka lakukan semasa hidup di dunia yang sementara ini.

Ada golongan yang bertopengkan agama dengan berjubah besar dan berserban. Hakikatnya mereka memesongkan akidah dan bermatlamat ekonomi. Bagaimana hendak memastikan kita tidak terperangkap dalam kumpulan sebegini?

DR. MUSA: Sebagai manusia kita menilai atau menghukum seseorang itu hanya berdasarkan zahir. Memanglah memakai serban itu sunah Rasulullah.

Namun, jangan disebabkan angkara segelintir orang yang menyalahgunakan pakaian demikian untuk melakukan maksiat atau jenayah, kita menjauhi sunah baginda.

Perbuatan bertopengkan agama ini adakalanya sengaja diada-adakan untuk menjatuhkan imej Islam. Malah di United Kingdom pun dilaporkan ada golongan yang membenci gerakan dakwah memakai purdah dan melakukan pelbagai jenayah. Tujuannya, mahu merosakkan nama Islam.

Sebab itu, dalam mempelajari agama ia tidak boleh dilakukan di tepi-tepi jalan atau secara tangkap muat. Kita hendaklah menyelidiki dahulu disiplin ilmu seseorang itu sebelum menjadikannya guru kita. Setiap kita perlu belajar daripada guru-guru yang muktabar dan yang tidak mengajar agama secara sorok-sorok.

Cari guru atau ustaz yang mengajar di masjid dan surau-surau. Sekurang-kurangnya mereka telah ditapis oleh Jabatan Agama Islam Negeri sebelum mendapat tauliah mengajar.

Kalau hendak membaca buku atau majalah, pastikan siapa penulisnya. Pastikan ia bersumberkan yang sahih dan guru yang muktabar.

Ini seperti juga kita hendak membeli barang. Perlu berhati-hati kerana ada yang tulen atau asli dan ada yang palsu. Tetapi ada pihak yang pada mulanya mengambil ayat suci al-Quran dan hadis. Cuma di pertengahan, ada campuran unsur-unsur jampi dan sebagainya untuk menyesatkan orang lain?

DR. MUSA: Sebab itu saya sebutkan tadi, kalau hendak mempelajari agama pastikan di tempat terbuka, yang boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja yang inginkan ilmu. Bukannya dibuat di lokasi yang tersorok.

Antara sebab kenapa orang terpedaya dengan ajaran sesat adalah rasa malu untuk belajar di masjid. Malu sebab sudah tua tetapi masih tidak pandai baca al-Quran atau pandai dalam bab fardu ain. Lalu mereka pun mencarilah orang yang kononnya ‘guru’ itu tanpa menyedari mereka sebenarnya mempunyai niat lain menyesatkan kita.

Ada juga jemaah al-Quran yang terus mengetepikan hadis. Mereka digelar Freemason yang dipelopori oleh Ahmad al-Ehsaie di Iran yang kemudiannya dilanjutkan oleh Khazim Rushdi.

Satu lagi kelompok yang terlibat adalah yang diasaskan oleh Rashad Khalifa keturunan Arab yang kemudiannya menetap di Amerika Syarikat. Beliau menolak hadis malah turut menolak syahadah kepada Rasulullah.


Sebab itu, golongan ahli sihir ini pun gunakan selawat atau doa-doa pendek. Tetapi selepas itu, mereka akan baca apa sahaja mentera atau jampi yang kita tidak faham. Apabila guna ajaran sesat maka mereka bergurukan iblis.

Jampi ini ada dua. Satu yang dibenarkan oleh Islam iaitu dengan menggunakan ayat al-Quran sebagaimana Rasulullah menjampi kepada cucu baginda yang sakit. Demikian juga jampi malaikat Jibril ketika baginda sakit.

Namun yang tidak dibolehkan ialah jampi yang bukan terdapat dalam al-Quran.

Dari Ibnu Masud r.a. katanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambat hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik”.

Namun, ada juga golongan ahli sihir begini yang mujarab dalam mengubati penyakit dan lain-lain. Apakah hikmahnya di sebalik hal itu?

DR. MUSA: Inilah yang dipanggil istidraj. Ibarat layang-layang yang di udara dan dilepaskan maka lama-kelamaan ia akan sesat.

Apabila disebut Allah mengistidrajkan hamba-Nya, ia bermaksud setiap kali hamba itu membuat atau menambah kesalahan maka setiap kali itu juga Allah menambah atau membaharui nikmat-Nya ke atas hamba tersebut membuatkan hamba itu tadi merasakan dia disayangi dan lupa memohon ampun.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.” (riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Pemberian Allah itu juga berkaitan dengan sifat ar-Rahman (pemurah) yang akan dinikmati di dunia ini oleh sesiapa yang berusaha sama ada orang itu beriman atau kufur.

Bagaimanapun sifat ar-Rahim (penyayang) Allah hanya untuk hamba-hamba-Nya yang beriman di akhirat. Golongan kufur tidak akan mendapat nikmat ini.

Berkenaan dengan istidraj ini, Allah berfirman: Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. (al-A’raaf: 182)

Dengan kata lain, golongan yang bergelumang dalam kesesatan ini dibiarkan dalam keadaan tersebut hingga mereka tidak sedar yang mereka didekatkan secara beransur-ansur kepada kebinasaan.

Ada yang berpendapat, kalau hendak mendekatkan diri pada Allah kita mesti mengikut tarekat. Benarkah?

DR. MUSA: Dakwaan itu tidak betul. Saya berpendapat, bagi orang awam yang belum mendalami atau mantap ilmu akidah eloklah tidak memasuki tarekat.

Sebabnya dibimbangi mereka belum mempunyai ilmu ‘alat’ untuk membezakan tarekat yang betul dan salah. Ini kerana hakikatnya, lebih banyak tarekat yang salah daripada yang betul.

Tarekat juga tidak boleh terkeluar daripada akidah dan syariat. Ada kisah di mana seorang Arab bertemu Rasulullah dan bertanya tentang Islam, lalu baginda menyebut kelima-lima perkara yang terkandung dalam rukun Islam. Apabila ditanya oleh lelaki itu apakah ada amalan lain selain itu, maka Rasulullah menjawab, hanyalah amalan sunat yang ingin kamu lakukan.

Akhirnya, lelaki itu berkata, demi Allah aku tidak melakukan yang lebih daripada itu. Kemudian Rasulullah bersabda, kalau benar dia mengikut semua itu, maka dia akan masuk syurga. Baginda tidak menyebut supaya masuk mana-mana tarekat.

Islam itu sendiri adalah tarekat kerana kita mengikut Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Bagaimana kita hendak menyatukan umat Islam yang masih berpecah di merata tempat sekarang?

DR. MUSA: Tidak ada jalan lain kecuali dengan kita kembali kepada al-Quran dan sunah. Golongan yang bertelagah ini perlu bermusyawarah bukannya berdebat.

Sebab apabila bermusyawarah mengambil tindakan yang menepati al-Quran dan hadis kita akan mencari jalan kebenaran seterusnya menyelesaikan masalah. Sebaliknya kalau berdebat kita akan mencari siapa yang menang.

Jika kita tidak kembali kepada Allah dan Rasulnya, maka tidak akan selesailah pertelingkahan itu. Kita tidak boleh kata kalau hendak bersatu ikut aku, tetapi ikut perbuatan yang salah.

Ingatlah sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: “Hampir-hampir seluruh umat mengelilingi kamu seperti mana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.” Ada yang bertanya, “Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?”

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: “Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu”.

Ada yang bertanya: “Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?”

Jawab Baginda: “Cintakan dunia dan bencikan mati”. (riwayat Abu Daud)
Kredit: Haji Mohd Azizan
cara-belajar-leap-camp

^.^ you are pretty and handsome strangers ^.^